Pelajar perempuan 13 tahun masuk ICU, dakwa dibuli di institusi pendidikan agama

KUALA LUMPUR – Seorang murid perempuan berusia 13 tahun dari sebuah institusi pendidikan agama di ibu negara dilaporkan menjadi mangsa buli apabila dia dipercayai ditutup mata dan disumbat makanan ke dalam mulut oleh sekumpulan pelajar lain.

Ibu mangsa, Hidayah, 30, berkata anak sulungnya, Aisyah, sering mengadu dibuli sejak mendaftar di institusi berkenaan sebulan lalu, termasuk kejadian cermin mata miliknya dipatahkan oleh pelajar berusia 10 tahun.

“Baru sebulan anak masuk sana, dia dah alami macam-macam kesengsaraan. Niat saya masukkan dia ke sana untuk belajar ilmu agama sebab saya seorang mualaf. Tak sangka dalam tempoh pendek, anak sampai masuk ICU. Saya tak pasti sejauh mana dia dibuli sebab sampai sekarang tiada yang mengaku,” katanya hari ini.

Menurutnya, Aisyah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8 Oktober lalu selepas dimaklumkan oleh seorang ustazah yang juga warden asrama bahawa anaknya mengadu sakit dada sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Batu Muda.

“Saya berada di Yayasan Hasanah ketika menerima panggilan. Selepas pemeriksaan, Aisyah dirujuk ke HKL dan terus dimasukkan ke ICU,” katanya.

Hidayah menjelaskan, anaknya yang mempunyai masalah jantung sejak kecil tidak pernah mengalami sebarang komplikasi serius sejak beberapa tahun lalu sehinggalah kejadian itu berlaku.

“Saya kecewa apabila pihak institusi cuba kaitkan keadaan Aisyah dengan masalah jantung semata-mata. Kalau tiada faktor lain, mustahil dia tiba-tiba jadi begitu. Saya yakin ada sesuatu yang berlaku di asrama,” ujarnya.

Tambahnya, sebelum kejadian, Aisyah pernah mengadu cermin matanya dipijak hingga patah oleh pelajar lain ketika hari sukan, selain menjadi mangsa ejekan dan tolak-menolak oleh rakan asrama.

BACA JUGA:  Isu poligami, Umisya Mazlan tampil jawab dakwaan dan fitnah

“Pihak institusi cuma pindahkan dia ke dorm lain bersama pelajar lebih muda, tapi buli tetap berlaku,” katanya.

Lebih mengejutkan, dua hari sebelum dimasukkan ke hospital, Aisyah dikatakan dikasari di tandas oleh sekumpulan pelajar yang menutup matanya, mengikat tangannya dan menyumbat makanan ke dalam mulutnya.

“Malah, pihak hospital tunjukkan kepada saya tulisan ‘gi mampus’ pada tangan Aisyah yang ditulis dengan pen marker biru,” dedahnya.

Menurut Hidayah, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 9 Oktober lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan, termasuk pemeriksaan oleh pakar wanita terhadap anaknya.

“Sekarang saya cuma mahu keadilan untuk anak saya. Banyak perkara berlaku dalam masa singkat, tapi pihak asrama dan sekolah seperti saling menolak tanggungjawab. Saya sudah keluarkan anak saya dari institusi itu. Saya mahu dia sembuh, tapi dalam masa sama, pelaku tidak boleh dibiarkan bebas,” tegasnya.

Ashrul Aizad
Ashrul Aizad
ashrulaizad@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...