MUDA tawar jawatan Presiden kepada Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebulat suara bersetuju menawarkan semula jawatan Presiden kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang melepaskan jawatan itu pada November lalu susulan pendakwaan kes mahkamah membabitkan dirinya.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) MUDA yang diadakan semalam, sehari selepas Mahkamah Rayuan membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada empat pertuduhan berkaitan dana parti Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Menurut kenyataan rasmi MUDA, tawaran tersebut dibuat berlandaskan dua prinsip utama, iaitu Syed Saddiq telah berjaya membersihkan nama dan integritinya melalui proses mahkamah yang telus dan adil.

Selain itu, beliau juga konsisten mempertahankan maruah serta nama baik parti sepanjang bergelar wakil rakyat.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, keputusan Syed Saddiq untuk melepaskan jawatan presiden sebelum ini merupakan langkah berani dan belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin politik yang sedang berdepan perbicaraan mahkamah.

Jelasnya, tindakan itu mencerminkan iltizam tinggi parti dalam menjunjung prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kembalinya Syed Saddiq menerajui kepimpinan parti akan memperkukuhkan hala tuju MUDA menjelang pilihan raya umum akan datang.

Namun begitu, Amira menegaskan bahawa parti memberi ruang kepada Syed Saddiq untuk mempertimbangkan tawaran tersebut terlebih dahulu.

Dalam masa sama, Amira menjelaskan bahawa Syed Saddiq tidak pernah culas dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Muar dan kekal aktif dengan politik berteraskan khidmat rakyat.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan serta hukuman empat pertuduhan membabitkan satu kes subahat pecah amanah melibatkan dana RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta sebanyak RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) masing-masing berjumlah RM50,000.

BACA JUGA:  Leapmotor lancar SUV elektrik Leapmotor B10, pacu mobiliti hijau
Ahmad Naufal
Ahmad Naufal
ahmadnaufal@portalmyberita.com

TRENDING

Minyak hampir habis tak halang pemuda ini jadi wira ‘escort’ ambulans ke hospital

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang penunggang motosikal membantu membuka...

Ibu mengaku salah campak bayi dari tingkat 10

JOHOR BAHRU – Seorang ibu muda mengaku bersalah di...

DUN Johor dibubar, laluan PRN ke-16 bermula

JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi...

Anggrek, Azeva terselamat daripada penyingkiran TTMM2

SHAH ALAM - Konsert minggu ketujuh program realiti hiburan...

Remaja hilang dekat Bukit Changkat Asa ditemui meninggal dunia lepas empat hari SAR

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja...