LONDON – Kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal akhirnya mencapai persetujuan dengan Sporting Lisbon untuk membawa masuk penyerang Sweden, Viktor Gyokeres dengan nilai perpindahan keseluruhan mencecah £63.5 juta (RM364 juta).
Penyerang berusia 27 tahun itu dijangka menandatangani kontrak lima tahun bersama The Gunners, selepas kelab London utara itu bersetuju membayar £54.8 juta (RM314.5 juta) sebagai bayaran asas, selain tambahan £8.6 juta (RM49.3 juta) dalam bentuk bonus prestasi.
Difahamkan, ejen Gyokeres, Hasan Cetinkaya, bersetuju untuk mengetepikan komisen 10 peratusnya bagi memudahkan urusan perpindahan, tanpa menjejaskan jumlah keseluruhan yang diminta oleh pihak Sporting.
Rundingan antara kedua-dua kelab berlangsung selama beberapa minggu, dengan Arsenal akhirnya memperoleh sasaran utama mereka pada jendela perpindahan musim panas ini. Pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Gyokeres menjadi pemain keempat ditandatangani Arsenal musim ini, selepas ketibaan Kepa Arrizabalaga dari Chelsea, Christian Norgaard dari Brentford dan Martin Zubimendi dari Real Sociedad.
Dalam perkembangan berkaitan, Arsenal turut bersetuju dengan perpindahan pemain sayap Chelsea, Noni Madueke bernilai £52 juta (RM298 juta), selepas pemain itu meninggalkan kelab sebelum aksi final Piala Dunia Kelab.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dilaporkan mahu menyelesaikan urusan pembelian Gyokeres sebelum skuadnya berlepas untuk siri jelajah pramusim ke Singapura dan Hong Kong hujung minggu ini.
Pada musim lalu, Arsenal banyak beraksi tanpa penyerang nombor 9 tulen yang menjadi antara faktor kekurangan ketajaman mereka di hadapan gol dan menamatkan kempen di tempat kedua, 10 mata di belakang juara, Liverpool.
Sporting pada awalnya meminta bayaran asas £60.4 juta (RM346 juta) serta tambahan £8.6 juta dalam bentuk insentif, namun Gyokeres sendiri enggan kembali ke latihan pramusim kerana berhasrat kuat untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Gyokeres menyertai Sporting dari Coventry City pada tahun 2023 dan sejak itu mencuri perhatian sebagai salah seorang penyerang paling berbahaya di Eropah. Pengarah sukan Arsenal, Andrea Berta turut berada di Lisbon hujung minggu lalu bagi mengetuai rundingan bersama juara Portugal itu.
