KUANTAN – “Subuh tadi, saya kejutkan dia macam selalu, tetapi rupanya itu kali terakhir saya kejutkan dia solat,” kata Norizan Mat, 48, ibu kepada Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22, yang terlibat dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat berhampiran Masjid Hidayah, Paya Besar di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Muhammad Firdaus dan rakannya, Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, disahkan meninggal dunia selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam nahas.
Kedua-duanya merupakan pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan hafiz al-Quran. Muhammad Firdaus menuntut dalam jurusan Syariah, manakala Muhammad Zuhair Rifqi dalam jurusan Diploma Pengajian Quran dan Sunnah.
Menurut Norizan yang ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), dia sempat mengejutkan anak keduanya itu untuk solat Subuh, namun mereka tidak sempat berbual panjang kerana masing-masing tergesa-gesa.
“Malam sebelumnya pun arwah balik lewat, tapi tak nampak apa-apa tanda pelik. Semuanya seperti biasa. Dia anak yang baik, tak pernah tinggi suara sejak kecil,” kata Norizan yang juga guru di Sekolah Islam Al-Irsyad.
Tambahnya, dia menerima khabar duka itu semasa sedang mengajar dan terus bergegas ke hospital selepas dimaklumkan doktor ingin berjumpanya.
Norizan berkata dia reda dengan pemergian anak tercinta dan berharap arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Kedua-dua arwah pernah menuntut di Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad serta Maahad Tahfiz Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan dan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Suasana di Unit Forensik HTAA jelas pilu apabila ahli keluarga dan rakan-rakan hadir memberi penghormatan terakhir buat dua sahabat yang dikenali sebagai pendiam, berakhlak mulia dan aktif dalam aktiviti keagamaan di kampus.

