KUALA LUMPUR â Sebuah kereta dipercayai hilang kawalan selepas beg udara (airbag) terbuka secara tiba-tiba sehingga menghalang pandangan pemandunya, menyebabkan kemalangan melibatkan empat kenderaan di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) arah Seri Kembangan, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.44 petang sebelum rakaman insiden berkenaan tular di media sosial.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 petang ketika pemandu sebuah kereta jenis Toyota Mark X, seorang lelaki berusia 33 tahun, sedang memandu ke arah Seri Kembangan sambil menggunakan aplikasi navigasi.
âPemandu terbabit dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di lorong tengah.
âAkibat pelanggaran tersebut, bahagian airbag kereta terbabit terkeluar dan menutupi pandangan pemandu sehingga menyebabkan kenderaan itu memasuki lorong kiri dan melanggar belakang sebuah motosikal serta kenderaan Honda BR-V,â katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zamzuri memaklumkan, dua lelaki masing-masing berusia 32 tahun yang menunggang dan membonceng motosikal tersebut mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan. Keadaan mereka dilaporkan stabil.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing dan alkohol terhadap pemandu Toyota Mark X mendapati lelaki itu bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol.
âKes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,â katanya.
Terdahulu, beberapa video dashcam berdurasi 22 dan 24 saat tular di media sosial, memaparkan detik kemalangan berkenaan yang berlaku secara tiba-tiba dan mengejutkan pengguna lebuh raya.

