HAVANA – Menteri Buruh Cuba, Marta Elena Feito Cabrera, telah meletakkan jawatan selepas menerima kecaman hebat susulan kenyataannya yang menafikan kewujudan pengemis di negara itu, meskipun Cuba kini sedang berdepan krisis ekonomi yang semakin meruncing.
Kenyataan tersebut mencetuskan gelombang kemarahan rakyat, baik di dalam mahupun luar negara. Ramai menganggap komen itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan jelas terputus daripada realiti kehidupan rakyat yang kini bergelut dengan kemiskinan, kekurangan makanan, dan tekanan ekonomi yang dahsyat.
\”Tiada pengemis di Cuba. Mereka hanya berpura-pura untuk dapatkan duit mudah,\” dakwa Feito Cabrera dalam sesi Parlimen awal minggu ini.
Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, turut memberikan teguran dalam sesi yang sama walaupun tidak menyebut nama Feito secara langsung.
\”Kepimpinan tidak boleh berlagak simpati atau terputus hubungan dengan realiti rakyat,\” tegas beliau.
Keadaan di Cuba semakin meruncing dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan, bahan api, serta gangguan elektrik yang berterusan. Pemandangan orang tidur di kaki lima dan mencari sisa makanan dalam tong sampah kini menjadi perkara biasa.
Ahli ekonomi tersohor Cuba, Pedro Monreal, membidas kenyataan tersebut secara sinis di platform X (dahulunya Twitter).
\”Mungkin ada juga orang yang menyamar sebagai menteri,\” tulisnya dalam hantaran yang mendapat perhatian meluas.
Surat terbuka yang ditandatangani oleh aktivis, penulis, dan intelektual tempatan turut diterbitkan, mendesak peletakan jawatan Feito dan menyifatkan kenyataannya sebagai satu penghinaan terhadap rakyat Cuba.
Akhirnya, selepas tekanan awam yang luar biasa sesuatu yang jarang berlaku di negara yang melarang protes anti-kerajaan Feito Cabrera mengemukakan surat peletakan jawatannya. Parti Komunis Cuba dan pihak kerajaan telah menerima permintaannya.
Insiden ini dianggap sebagai tanda jelas bahawa rakyat semakin berani menyuarakan ketidakpuasan terhadap kenyataan yang tidak bertanggungjawab daripada pemimpin, terutamanya ketika mereka sedang berjuang mendapatkan keperluan asas harian untuk terus hidup.

