KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Kasim, berhak menerima ganti rugi berjumlah RM160,000 selepas berjaya dalam samannya terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), 15 pegawainya serta tujuh individu lain.
Keputusan itu dibuat susulan kejadian pada 2016, apabila Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim ditangkap dan ditahan secara tidak sah semasa menghadiri satu majlis makan malam amal di sebuah hotel di ibu negara.
Hakim Su Tiang Joo dalam penghakimannya memerintahkan JAWI membayar RM100,000 sebagai ganti rugi teladan, RM60,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM100,000 lagi untuk kos guaman.
Mahkamah berpandangan bahawa Siti Kasim telah berjaya membuktikan bahawa beliau ditahan secara salah oleh dua pegawai JAWI selepas keluar dari dewan hotel tempat majlis berlangsung.
\”Pada pertimbangan saya, telah berlaku salah guna kuasa oleh penjawat awam apabila defendan menjalankan serbuan dan menahan seorang peserta dalam satu majlis anjuran kerajaan negeri, tanpa memastikan kuasa yang digunakan itu sah di sisi undang-undang. Ini sekali gus menimbulkan ketakutan dan ketidakselesaan yang tidak wajar,\” ujar Hakim Su.
Kes ini menarik perhatian ramai kerana ia melibatkan hak individu, kuasa pihak berkuasa agama dan kebebasan bersuara. Keputusan mahkamah ini dilihat sebagai satu kemenangan besar kepada prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.
