KUALA LUMPUR – Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila Yayasan Nurjiwa yang diasaskannya berjaya menyalurkan agihan makanan dua kali sehari kepada 10,000 rakyat Palestin secara konsisten setiap hari.
Menurut penyanyi tersohor itu, agihan berterusan itu dapat dilaksanakan hasil sumbangan orang ramai kepada Yayasan Nurjiwa, yang amat prihatin terhadap nasib rakyat di Gaza.
“Alhamdulillah, dengan bantuan yang tidak putus-putus diterima, Yayasan Nurjiwa dapat meneruskan sumbangan kepada saudara kita di Palestin, terutama dalam menyalurkan makanan kepada mereka setiap hari.
“Makanan diberi pada siang dan satu lagi agihan pada malam,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Yayasan Nurjiwa X Inayah Beauty, di sini, hari ini.
Siti berkata, beliau amat bersyukur kerana menerima kepercayaan pelbagai pihak, termasuk jenama tempatan seperti Inayah Beauty yang turut menyumbang dalam usaha membantu rakyat Palestin.
“Saya bersyukur pada Allah atas kepercayaan yang diberikan. Keizinan ini adalah dari Allah. Dengan wujudnya akaun Sekolah Afwa Al Afiyah sebelum perang, ia memudahkan sumbangan disalur.
“Saya selalu berharap dan berdoa agar Allah melindungi sukarelawan saya di sana. Alhamdulillah, sehingga hari ini Allah masih lagi melindungi mereka dari serangan bom dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Yayasan Nurjiwa juga bekerjasama dengan Inayah Beauty dalam projek membaik pulih masjid di Palestin dengan kos RM300,000 pada Ramadan lalu. Kerja baik pulih itu dilaksanakan oleh wakil yayasan yang menetap di kawasan terbabit.
Majlis penyerahan sumbangan itu turut diserikan dengan kehadiran duta rasmi Inayah Beauty, antaranya Fasha Sandha, Bella Astillah, Elisya Sandha, Watie Hanifiah, Intan Ladyana dan Intan Najuwa.
