PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya dua tahun lalu, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang sama.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira, namun gagal berbuat demikian terhadap Zaim Ikhwan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Dr. Syahliza berkata, setelah meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati bahawa hanya Ismanira perlu dipanggil untuk membela diri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Oleh itu, tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, manakala tertuduh kedua (Ismanira) dipanggil untuk membela diri kerana pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya,” katanya.
Pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebelum ini didakwa atas tuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berusia enam tahun ketika kejadian. Perbuatan itu didakwa berlaku antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023 di kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke sungai berdekatan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili barisan peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Suasana mahkamah bertukar hiba sejurus keputusan dibacakan apabila Ismanira dilihat menangis dan memeluk ahli keluarganya.

