WUG Rhine-Ruhr 2025: Azeem, Umar mara ke separuh akhir

BOCHUM, JERMAN – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak berdepan sebarang masalah untuk mara ke peringkat separuh akhir acara 100 meter (m) lelaki pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 yang berlangsung di Lohrheidestadion, malam tadi (awal pagi Selasa waktu Malaysia).

Meskipun perlumbaan berlangsung dalam keadaan hujan dan berangin, Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan kekal tenang dan mengungguli saringan ketujuh dengan catatan 10.57 saat (s), menewaskan pelari Korea Selatan, Joeljin Nwamadi (10.61s) dan Nikolaos Dowhos dari Kanada (10.72s).

Pelari berusia 22 tahun yang menuntut di Universiti Auburn, Amerika Syarikat itu bakal turun beraksi di separuh akhir malam ini (awal pagi Rabu waktu Malaysia), dengan misi memburu tempat ke pentas final.

“Sebenarnya saya simpan banyak tenaga sebab tahu esok ada dua pusingan. Hari ini fokus saya adalah habiskan larian tanpa cedera. Alhamdulillah semuanya lancar, walaupun cuaca sedikit mencabar,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Bagaimanapun, seorang lagi wakil negara, Aliff Iman Mohd Fahmi gagal melepasi saringan selepas sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan masa 11.09s.

Dalam pada itu, raja pecut Thailand, Puripol Boonson mencuri tumpuan apabila mencatat masa terpantas pusingan pertama, iaitu 10.23s, diikuti dua pelari Afrika Selatan, Bayanda Joy Walaza (10.27s) dan Kyle Brian Zinn (10.33s).

Sementara itu, pelari 400m negara, Umar Osman turut melakar kejayaan apabila layak ke separuh akhir acara berkenaan selepas mencatat masa 46.97s dan berada dalam kelompok pelari bukan tiga teratas yang layak secara automatik.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 itu menamatkan saingan di tempat keempat dalam saringan keempat yang menyaksikan pelari Ireland, Jack Raftery menjuarai saringan dengan masa 46.39s.

BACA JUGA:  Pelakon Jalil Hamid meninggal dunia

“Catatan saya hari ini agak kurang memuaskan, tapi saya bersyukur kerana berjaya ke separuh akhir. Saya akan cuba beri yang terbaik untuk peringkat seterusnya dan fokus untuk perbaiki masa,” katanya yang memegang rekod kebangsaan dengan 46.09s.

Dalam acara lain, Muhammad Fakrul Afizul Nasir (400m lari berpagar) terkandas selepas mengalami kecederaan hamstring dan menamatkan larian dengan masa 1:11.87s, manakala Muhammad Aidil Azhar Azrul Hisyam disingkirkan kerana kesalahan melanggar lorong.

Bagi kategori wanita, semua wakil negara iaitu Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (400m), Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (100m), Azreen Nabila Alias (100m) serta atlet lontar peluru, Nani Sahirah Maryata tidak berjaya melepasi pusingan kelayakan.

Saingan olahraga WUG 2025 akan diteruskan sehingga hari penutup temasya pada Ahad ini.

Nabil Qodri
Nabil Qodri
nabilqodri@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...