KUALA LUMPUR â Seramai 30 jurugambar jalanan dikenakan kompaun dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh KL Strike Force kerana didapati menawarkan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran pihak berkuasa di sekitar kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pada malam Ahad.
Operasi yang bermula kira-kira jam 9 malam itu disertai anggota dan pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta turut hadir dalam operasi tersebut ialah Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Menurut tinjauan operasi itu, pelaksanaan berjalan lancar walaupun berlaku sedikit kekecohan apabila salah seorang jurugambar enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Salah seorang jurugambar yang enggan dikenali berkata, ini merupakan kali pertama mereka dikenakan tindakan sedemikian.
\”Ini kali pertama kami kena saman. Siang saya kerja di kedai aksesori berhampiran, habis kerja baru datang sini. Biasanya satu malam boleh dapat RM200 hingga RM400,\” katanya.
Menurut pihak berkuasa, individu yang terlibat telah melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016, kerana menawarkan perkhidmatan fotografi di kawasan awam tanpa lesen sah.
Difahamkan, jurugambar berkenaan menggunakan telefon pintar untuk mengambil gambar pelancong dan pengunjung di sekitar KLCC sebelum menawarkan hasilnya dengan bayaran tertentu.
Ketika diminta mengulas isu tular mengenai dakwaan bahawa kumpulan jurugambar ini cuba mengambil kesempatan terhadap pelancong asing, seorang jurugambar lelaki berusia awal 20-an menafikan perkara tersebut.
\”Memang kami tahu tentang perkara itu, tetapi saya tak pernah kenakan harga tinggi yang melampau atau memaksa pelanggan menggunakan perkhidmatan kami,\” jelasnya.

