KUALA LUMPUR – Enam pelajar lelaki sebuah sekolah menengah agama bantuan kerajaan terkenal di daerah ini direman tiga hari sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana disyaki memukul dan membuli seorang pelajar junior di dalam bilik asrama sekolah berkenaan pada akhir bulan lalu.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret Kemaman Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, semua suspek yang berusia 16 tahun dan merupakan pelajar tingkatan empat itu didakwa terlibat memukul serta membuli mangsa, seorang pelajar tingkatan tiga berusia 15 tahun.
Menurutnya, kejadian berlaku pada pukul 1.30 pagi, 30 Julai lalu, ketika mangsa berada di dalam bilik asrama sekolah berkenaan.
“Mangsa mendakwa dipukul oleh kesemua suspek sehingga mengalami kecederaan ringan akibat perbuatan tersebut sebelum membuat laporan polis pada 3 Ogos lalu,” katanya.

