ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan musim baharu dengan penuh bergaya apabila menewaskan Selangor FC 3-0 pada aksi Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan terus menguasai pentas pembukaan musim bola sepak tempatan, sekali gus menjulang trofi berprestij tersebut buat lapan musim berturut-turut sejak 2018.
Aksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah bermula panas apabila JDT hanya memerlukan 59 saat untuk memecahkan kebuntuan melalui jaringan pantas Jairo Da Silva yang tenang menyudahkan hantaran cantik Jonathan Silva.
Selangor FC cuba bangkit, namun barisan serangan mereka buntu mencari ruang menembusi benteng kukuh Harimau Selatan. Penjaga gol Gergasi Merah, Kalamullah Al Hafiz akhirnya tewas kali kedua pada minit ke-63 selepas tandukan bek tengah JDT, Eddy Israfilov hasil sepakan sudut Arif Aiman menerjah jaring.
Tidak lama selepas itu, Arif Aiman sendiri mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-73 apabila melakukan larian solo menewaskan Kevin Deeromram sebelum melepaskan rembatan kencang dari sudut sukar yang gagal dihalang Kalamullah.
JDT terus mendominasi perlawanan hingga ke penghujung, namun tiada tambahan jaringan dihasilkan dan keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat, mengesahkan dominasi skuad kendalian Hector Bidoglio di pentas Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

