KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet miliknya terlibat dalam insiden kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, malam tadi.
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, kejadian berlaku sekitar jam 9.05 malam ketika pesawat tersebut berada di kawasan landasan pangkalan udara berkenaan.
“TUDM sedang mengambil tindakan segera berkaitan insiden ini dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian ini,” jelas kenyataan itu.
Setakat ini, pihak TUDM masih belum mengesahkan sama ada terdapat sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa membabitkan insiden tersebut.

