SEGAMAT – Gempa bumi lemah berukuran 3.4 magnitud dilaporkan berlaku pada jam 4.24 pagi tadi di daerah ini, menjadikannya gegaran keempat direkodkan sejak kejadian pertama pada Ahad lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, gempa bumi itu berpusat kira-kira 22 kilometer Timur Laut dari Segamat pada koordinat 2.7 darjah utara dan 102.9 darjah timur, dengan kedalaman 10 kilometer.
“MetMalaysia akan terus memantau keadaan dan perkembangan gempa bumi ini,” jelas agensi berkenaan menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima susulan gegaran berkenaan.

