KUALA LUMPUR – Dataran Merdeka malam ini menjadi saksi lautan manusia apabila ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang berkumpul untuk menyambut malam ambang merdeka 2025 yang bertemakan “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”.
Malam ambang kemerdekaan ini bertambah meriah dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Hael Husaini, Nadeera Zaini dan Bella Astillah yang berjaya menghiburkan penonton dengan lagu-lagu penuh semangat patriotik.
Tidak ketinggalan, Combo DBKL dan Artis Budaya DBKL turut mempersembahkan gabungan muzik, tarian moden serta tradisional, menggambarkan kepelbagaian budaya Malaysia yang menjadi teras perpaduan nasional.
Satu segmen khas mengenang jasa pahlawan negara turut diadakan, memberi penghargaan kepada wira-wira yang berkorban demi kemerdekaan tanah air. Segmen ini menjadi momen penuh emosional yang mengingatkan generasi hari ini bahawa kemerdekaan tidak datang dengan mudah.
Selain persembahan pentas, pengunjung turut berpeluang menyertai pameran sejarah kemerdekaan, permainan tradisional dan aktiviti interaktif yang menghubungkan generasi muda dengan warisan negara.
Tepat tengah malam, langit Kuala Lumpur dihiasi percikan bunga api gilang-gemilang, menutup tirai sambutan dengan simbolik harapan untuk masa depan negara yang lebih cerah, maju dan sejahtera.
Suasana harmoni di Dataran Merdeka malam ini sekali lagi membuktikan bahawa semangat Malaysia Madani benar-benar hidup dalam jiwa rakyat, selari dengan tema “Rakyat Disantuni”.
