KUALA LUMPUR — Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Dalam kenyataan dikeluarkan, bank pusat itu memaklumkan ekonomi negara berkembang sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama 2025, dipacu oleh aktiviti perbelanjaan dan pelaburan berterusan. Bagi keseluruhan tahun ini, ekonomi Malaysia dijangka tumbuh antara 4 hingga 4.8 peratus.
BNM menjangkakan pertumbuhan menjelang 2026 akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kekal berdaya tahan, selain dipacu guna tenaga stabil, pertumbuhan upah dan dasar berkaitan pendapatan yang membantu perbelanjaan isi rumah.
“Pengembangan aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, bank pusat menegaskan prospek pertumbuhan kekal tertakluk kepada ketidakpastian, khususnya yang berpunca daripada perkembangan global.
Risiko kelembapan pertumbuhan boleh timbul akibat perdagangan antarabangsa yang perlahan, sentimen pasaran lemah serta pengeluaran komoditi lebih rendah berbanding jangkaan.
“Sementara itu, hasil yang positif daripada rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang masih berlangsung, dasar menyokong pertumbuhan di negara maju, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik, serta aktiviti pelancongan yang rancak, berpotensi meningkatkan prospek eksport dan pertumbuhan Malaysia,” kata BNM.

