KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima dua aduan rasmi berkaitan pelaksanaan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100 secara one-off sejak ia mula dilaksanakan hujung bulan lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, aduan tersebut adalah sebahagian daripada lima aduan rasmi yang diterima melalui platform KPDN dari 31 Ogos hingga 2 September lalu, dengan dua daripadanya khusus melibatkan pelaksanaan Sara.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) KPDN adalah setiap aduan diterima berkaitan harga dan bekalan akan diambil tindakan dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Anna Bell @ Suzieana Perian yang membangkitkan isu terdapat pihak dipercayai mengambil kesempatan menaikkan harga susulan pelaksanaan bantuan Sara RM100 kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN telah melaksanakan beberapa langkah awal bagi memastikan tiada pihak mengeksploitasi pemberian bantuan yang melibatkan lebih 22 juta rakyat dengan peruntukan melebihi RM2 bilion itu.
Antara langkah yang diambil termasuklah pemeriksaan ke atas 8,438 premis dari 31 Ogos hingga 2 September lalu, semakan data pemantauan harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) di 1,160 premis setiap hari melibatkan 316 item, serta memasukkan semua barangan disenaraikan dalam Program Sara ke dalam senarai pemantauan harga PPH.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan barangan asas sekali gus melindungi kepentingan pengguna.

