SHAH ALAM – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang pemandu lori dipukul dengan sebatang kayu berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut beliau, kejadian jam 5.15 petang itu pada mulanya tercetus apabila mangsa membunyikan hon ke arah sebuah kereta yang keluar secara meluru dari susur jalan lalu memasuki laluannya.
“Susulan itu, mangsa mengekori kereta berkenaan hingga ke kawasan berhampiran R&R Dengkil sebelum turun untuk berjumpa dengan pemandu terbabit.
“Namun, suspek kemudian mengambil sebatang kayu dari dalam keretanya dan memukul lengan kiri mangsa sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Akmalrizal berkata, kejadian itu hanya disedari umum selepas video insiden berkenaan tular di media sosial.
Tambah beliau, polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.
