KUALA LUMPUR – Seorang bapa tidak dapat menahan sebak apabila mengetahui anak lelakinya menjadi suspek dalam kes tikaman yang meragut nyawa seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Menurutnya, anaknya yang berusia 14 tahun itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan luar biasa pada pagi kejadian, malah bersikap seperti hari-hari biasa sebelum dihantar ke sekolah.
“Saya betul-betul sangat sedih. Apa yang saya cakap pun sudah tiada guna, sebab nyawa anak orang dah hilang,” luahnya ketika ditemui media.
“Pagi tadi semuanya biasa sahaja. Dia seorang yang pendiam dan agak ‘introvert’. Saya ada tanya dia kalau ada apa-apa yang tak baik berlaku di sekolah, tapi dia cuma kata tak ada apa. Dia tak pernah sebut pun tentang perempuan itu,” katanya dengan nada sebak.
Tambahnya, anaknya bukan jenis yang suka bergaduh atau mencari masalah, menyebabkan dia sukar mempercayai remaja itu mampu melakukan perbuatan sedemikian.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, mangsa, pelajar perempuan Tingkatan 4, ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman di badan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pelajar lelaki terbabit telah ditahan di lokasi kejadian bersama dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, pihak polis sedang mendapatkan laporan psikiatri bagi membantu siasatan berhubung motif kejadian yang mengejutkan masyarakat itu.

