KUALA LUMPUR – Kesemua 36 pelajar dan dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di Hatyai, Thailand akibat kejadian banjir, berjaya diselamatkan dalam operasi yang selesai sebentar tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, dalam satu ciapan di laman Facebook, memaklumkan bahawa kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat dan sedang dibawa ke penempatan sementara sebelum proses membawa pulang ke Malaysia dilaksanakan.
Menurut beliau, kejayaan operasi itu hasil koordinasi pantas serta kerjasama kukuh pelbagai agensi.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan UUM atas koordinasi yang amat berkesan dalam memastikan operasi menyelamat ini dapat dijayakan dengan selamat dan teratur,” katanya.
Zambry turut menzahirkan kesyukuran atas keselamatan semua yang terlibat dan berharap urusan membawa mereka pulang dipermudahkan.
“Syukur Alhamdulillah… Semoga urusan seterusnya dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya.
Operasi menyelamat itu dijalankan susulan banjir di Hatyai yang menyebabkan kumpulan pelajar dan pensyarah UUM tersebut terputus hubungan dan tidak dapat pulang seperti dijadualkan.

