KUALA LUMPUR – Penduduk di Nilai dan Port Dickson, Negeri Sembilan serta Kuala Selangor, Selangor kini berdepan gangguan bekalan elektrik selepas beberapa pencawang terpaksa ditutup oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi keselamatan pengguna.
TNB CareLine memaklumkan melalui kenyataan di Facebook bahawa susulan hujan lebat dan banjir yang melanda Kuala Selangor, bekalan elektrik di kawasan tertentu ditutup sementara. Antara lokasi terjejas adalah Jalan Rizab Masjid dan Southern Reality Ladang Bukit Ijok.
“Tutup semua suis di soket alir keluar dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik. Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” pesannya.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dijangka mengambil masa lebih lama kerana banyak pokok tumbang menghempap tiang dan talian TNB. Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri talian elektrik yang jatuh atau mana-mana peralatan elektrik yang rosak.
“Pasukan teknikal sedang berusaha untuk memulihkan bekalan, termasuk mengutamakan keselamatan semua pihak semasa kerja-kerja pemulihan dijalankan,” tambah TNB CareLine.
Penduduk disarankan sentiasa berhati-hati dan mengikuti arahan pihak berkuasa serta TNB sehingga bekalan elektrik pulih sepenuhnya.

