BANGKOK â Kecekapan taktikal, penggunaan wira yang bijak dan ketenangan membuat keputusan di bawah tekanan menjadi kunci kejayaan pasukan wanita Mobile Legends Malaysia meraih pingat emas pertama negara dalam sukan elektronik di Sukan SEA 2025, sebentar tadi.
Pasukan kebangsaan yang dianggotai Qurratul Ain Nurfarisha Nizam, Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Hanis Wahidah Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi mencipta sejarah dengan menundukkan gergasi tradisi, Filipina, dalam perlawanan final sengit 4-3 di Chulalongkorn University, Bangkok.
Malaysia membuka tirai dengan kemenangan meyakinkan, namun Filipina membalas dengan dua kemenangan berturut-turut untuk mendahului 2-1. Kecekalan pasukan wanita negara membolehkan mereka menyamakan kedudukan pada Game Empat sebelum lawan sekali lagi mendahului pada Game Lima. Tetapi Malaysia tidak berputus asa, mengekalkan fokus hingga mengikat semula kedudukan dan akhirnya menamatkan perlawanan dengan pingat emas bersejarah.
Jurulatih Farhan Ibrahim memuji prestasi matang pemain dalam melaksanakan peranan masing-masing.
“Anda boleh lihat output dan cara wira digunakan. Semua memahami tanggungjawab mereka,” katanya. Sementara itu, jurulatih Kelvin Unting menyanjung Farisha, EXP Laner pasukan, atas persembahan cemerlangnya yang menarik perhatian ramai. “Output dia, terutama Lapu-Lapu, sangat agresif dan hebat. Tapi bukan hanya dia, seluruh pasukan bermain dengan baik hari ini,” katanya.
Farisha turut mengisyaratkan minat untuk menyertai liga profesional, MPL Malaysia, selepas kejayaan ini.
“Kalau ada peluang, saya ingin bermain. Sesiapa yang mahu menandatangani saya, hantar mesej peribadi,” katanya sambil ketawa.
Kapten pasukan, Arya, berkata kemenangan ini membawa makna istimewa selepas kekecewaan sebelum ini di peringkat antarabangsa, dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong serta pasukan pengurusan.
“Tanpa mereka, kami tidak dapat meraih pingat emas ini. Pingat ini untuk semua yang menyokong kami,” katanya.
Kejayaan pasukan wanita hadir sehari selepas pasukan lelaki Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, menjadikan emas wanita satu pencapaian penting dalam arena esports negara.

