GEROGE TOWN – Perkumpulan Siswa-Siswi Pahang Darul Makmur, Universiti Sains Malaysia (PERDAMA USM) dan Majlis Mahasiswa Anak Pahang, Universiti Malaysia Terengganu (MAMPAN UMT) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbol komitmen kerjasama strategik dalam memperkasa pembangunan kepimpinan dan kebolehpasaran mahasiswa.
Majlis menandatangani MoU itu disifatkan sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara mahasiswa dua institusi pengajian tinggi awam, khususnya dalam aspek pembangunan sahsiah, kepimpinan, akademik serta penglibatan komuniti.

Pengarah Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia USM merangkap Penasihat Utama PERDAMA USM, Profesor Dr. Irfan Naufal Umar, berkata kerjasama berkenaan membuka ruang baharu kepada mahasiswa untuk membangunkan potensi diri secara holistik.
âMoU ini bukan sekadar dokumen persefahaman, tetapi merupakan manifestasi kesungguhan kita untuk melahirkan mahasiswa berdaya saing, berfikiran kritis serta mempunyai nilai kepimpinan yang mampan,â katanya.
Sementara itu, Penasihat Majlis Mahasiswa Anak Pahang UMT (MAMPAN UMT), Muhammad Hafiz Mohd Dee, menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai platform strategik dalam memperkasa peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan.
âKerjasama ini menjadi medium penting untuk menyatukan idea, kepakaran dan tenaga mahasiswa dalam menjayakan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,â ujarnya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua MAMPAN UMT, Nazlin Nabilah Md Yusof, berkata MoU tersebut mencerminkan aspirasi mahasiswa untuk bergerak seiring dalam agenda pembangunan kendiri.
âKami melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk memperluaskan jaringan kepimpinan mahasiswa dan memperkasa suara anak Pahang di peringkat nasional,â katanya.
Yang Dipertua PERDAMA USM, Nik Norhafizah Nik Mohamad Amin, turut menyatakan komitmen pihaknya dalam memastikan pelaksanaan MoU ini memberi impak berterusan.
âPERDAMA USM komited untuk menjadikan MoU ini sebagai landasan kepada pelbagai inisiatif yang mampu membentuk mahasiswa berdaya tahan, progresif dan prihatin terhadap masyarakat,â jelasnya.
Majlis yang dihadiri 36 orang anak-anak Pahang dari UMT dan 50 orang anak-anak Pahang dari USM berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai program bersama melibatkan kepimpinan mahasiswa, kesukarelawanan, akademik dan pembangunan komuniti pada masa akan datang.

