KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memandang serius penyebaran kandungan yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial oleh individu yang dipercayai pelajarnya.
UMPSA dalam kenyataan hari ini berkata, universiti menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyebaran kandungan palsu atau hasutan kebencian yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.
“Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024,” menurut kenyataan itu.
UMPSA menegaskan semua warga universiti perlu mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat serta tidak menyebarkan kandungan 3R yang boleh menggugat keamanan negara.
Tindakan pelajar tersebut turut diselar Pemuda UMNO Pekan, yang menegaskan perbuatan itu melampaui batas kebebasan bersuara dan berpotensi mencetuskan ketegangan antara agama serta mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, individu berkenaan boleh disiasat mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menekankan tindakan tegas perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada pihak lain dan mengelakkan perkara sama berulang, selain menyeru masyarakat bertenang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Keharmonian negara tanggungjawab bersama. Menghormati agama dan kepercayaan orang lain bukan pilihan, tetapi satu kewajipan dalam negara Malaysia sejak dulu, kini dan selamanya,” ujarnya.

