PUTRAJAYA – Sebarang tindakan susulan berhubung siasatan yang melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan diserahkan kepada pihak universiti berkenaan untuk penelitian dan tindakan lanjut.
Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu termasuk menilai sama ada teguran yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bersifat serius atau sekadar melibatkan aspek tadbir urus.
Menurutnya, setiap laporan audit yang dibentangkan akan diteliti terlebih dahulu di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum arahan diberikan kepada institusi berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Sekiranya teguran tersebut tidak serius dan hanya melibatkan soal tadbir urus, maka langkah penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan syor yang dikemukakan dalam laporan audit.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat kesalahan serius berkaitan tadbir urus, tindakan lanjut akan diambil mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Iftar bersama warga KPT semalam.
Terdahulu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan berhubung penemuan dalam LKAN yang membabitkan UKM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan tersebut melibatkan program pengambilan pelajar serta dakwaan tuntutan palsu.
Menurut beliau, setakat ini pihak SPRM telah memperoleh kerjasama daripada UKM dan belum memanggil mana-mana saksi bagi membantu siasatan.
“KPT telah menetapkan peraturan serta garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak berkaitan dan tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peraturan tersebut,” katanya.
Zambry turut berkata, sekiranya terdapat perkara yang memerlukan tindakan undang-undang, laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM akan dibuat berdasarkan penemuan dalam laporan audit berkenaan. – MYBERITA

