KUALA LUMPUR – Pelakon Que Haidar menegaskan hubungan mesranya dengan selebriti terkenal Nur Fazura tidak lebih daripada persahabatan lama yang kembali bertaut selepas sekian lama tidak bertemu.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, berkata perkenalan mereka sudah terjalin sejak awal pembabitan dalam dunia seni apabila kedua-duanya memulakan kerjaya dalam industri hiburan sekitar tempoh yang sama.
“Memang kami bersahabat. Fazura ialah sahabat lama yang sudah lama tidak berjumpa. Kalau tidak silap, kami memasuki industri ini dalam tempoh yang lebih kurang sama.
“Pada tahun yang sama juga kami pernah tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Harapan. Saya menerusi filem KL Menjerit, manakala dia pula melalui filem Bicara Hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Program Raya Astro 2026 di Pavilion Hotel Kuala Lumpur, semalam.
Dalam masa sama, Que mengakui dia berasa sedikit segan setiap kali bertemu semula dengan Fazura selepas sekian lama menjauhkan diri daripada dunia hiburan.
Menurutnya, perasaan itu timbul apabila melihat pencapaian besar yang diraih sahabat lamanya itu dalam industri ketika ini.
“Bila jumpa semula, mestilah ada rasa malu-malu. Maklumlah, saya sudah lama meninggalkan industri.
“Kadang-kadang saya terfikir juga, ‘wow, besarnya nama awak sekarang’, sedangkan saya rasa nama saya kecil sahaja,” ujarnya.
Mengulas sokongan segelintir peminat yang seakan-akan berharap hubungan mereka berakhir dengan sesuatu yang lebih serius, Que berkata dia tidak mahu terlalu memikirkan andaian tersebut.
Sebaliknya, katanya, dia melihat perkara itu sekadar gurauan peminat di media sosial dan tidak kisah selagi ia memberi kegembiraan kepada orang ramai.
“Kalau orang gembira, Alhamdulillah. Kalau perkara ‘kenen-kenen’ ini buat orang gembira atau boleh hilangkan keresahan mereka, saya okey sahaja.
“Kita tidak perlu fikir terlalu berat. Kalau saya beratkan, ia jadi berat. Kalau saya ringankan, ia jadi ringan. Jadi saya layan sahaja,” jelasnya.
Terdahulu, keakraban Que dan Fazura mencuri perhatian peminat selepas mereka dilihat bekerjasama mempromosikan sebuah jenama pakaian tempatan.
Malah, Que juga pernah menghadiahkan sejambak bunga mawar kepada Fazura selain kedua-duanya dilihat mengunjungi bazar Ramadan bersama.
Kemesraan mereka yang sering berbalas komen di aplikasi Threads turut menarik perhatian peminat sehingga tercetus tanda pagar #QueLaFaz, sekali gus membuatkan ramai mula mengusik dan ‘menjodohkan’ pasangan sahabat berkenaan. – MYBERITA

