JERTIH â Misteri kehilangan seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands sejak awal pagi Jumaat lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia dalam semak di tepi jalan di Kampung Bukit Jeruk, Kampung Beting Lintang di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Rozaime Ab Rahim berkata, mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 6.40 petang sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai penemuan tersebut.
Menurutnya, setakat ini polis percaya mayat yang ditemui adalah Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak awal pagi Jumaat lalu.
âMangsa dipercayai telah meninggal dunia pada malam dia tidak dapat dihubungi pada awal pagi Jumaat selepas motosikal jenis Yamaha R15 yang ditunggangnya dipercayai terbabas,â katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik di Hospital Besut untuk proses pengecaman oleh waris serta bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Terdahulu, kehilangan Ahmad Azreeq Zafreen dilaporkan berlaku ketika dia bersama keluarganya dari Kampung Batin, Seberang Takir dalam perjalanan untuk bercuti ke Cameron Highlands pada Khamis lalu.
Dalam perjalanan tersebut, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha R15, manakala ibu bapanya bersama ahli keluarga lain menaiki sebuah kereta.
Kali terakhir mangsa dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berada di sebuah stesen minyak di Kampung Beting Lintang pada pukul 1.38 pagi, Jumaat lalu.
Bapa mangsa, Ahmad Azhar Mohd Yusof, 59, berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Kampung Saujana, Setiu sebelum dia meneruskan perjalanan bersama keluarga.
âKira-kira pukul 12.30 tengah malam, kami berhenti makan di Kampung Anak Ikan, Besut dan menghubungi Azreeq supaya berhenti di kedai makan yang sama, namun dia tidak muncul.
âSelepas selesai makan dan Azreeq masih belum tiba, kami meneruskan perjalanan ke Gua Musang dengan andaian dia akan menyusul dari belakang,â katanya.
Menurutnya, sepanjang perjalanan isterinya cuba menghubungi Azreeq, namun panggilan tidak dijawab dan mereka menyangka telefon bimbit remaja itu mungkin kehabisan bateri. – MYBERITA

