Tokoh pemikir peradaban Islam, Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Profesor Diraja yang juga tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia di sini, petang Ahad.

Berita pemergian tokoh ilmuwan itu dikongsikan pendakwah bebas, Syed Abdul Kadir Aljoofre yang memaklumkan jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima segala amalan dan jasa baktinya buat ummah serta menempatkannya di Syurga Firdaus bersama para Nabi dan Salihin,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Turut berkongsi berita pemergian Allahyarham ialah Pengerusi Daie Madani, Amir Zuhair Abdull Khalid yang menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh besar yang banyak berjasa kepada pembangunan ilmu negara.

“Beliau berjasa besar buat landskap ilmu negara dan bangsa juga buat pemimpin.

“Semoga rahmat Allah bersamamu sentiasa. Pergimu di bulan yang mulia petanda kemuliaanmu yang dimuliakan oleh Maha Mulia,” katanya.

Pada Oktober 2024, Allahyarham dikurniakan gelaran Profesor Diraja atas sumbangannya terhadap negara terutama dalam bidang pendidikan Islam.

Pengurniaan itu disampaikan oleh Sultan Ibrahim yang berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan watikah pelantikan tersebut.

Profesor Diraja merupakan gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai pengiktirafan kepada ahli akademik yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat serta kemajuan negara.

Sebelum ini, satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran berkenaan ialah Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada tahun 1978.

Allahyarham yang juga pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) merupakan individu penting yang membentangkan konsep universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada 1977.

BACA JUGA:  Warga emas dikhuatiri lemas terjun sungai di Muar

Pembentangan itu kemudiannya membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Selain itu, Allahyarham turut memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni. – MYBERITA

Muqri Hafidz
Muqri Hafidz
muqri@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...