Azhan Rani tegur sikap pelakon datang lewat, yang ‘senior’ pun tak terkecuali…

KUALA LUMPUR – Pelakon berpengalaman, Azhan Rani mengingatkan orang ramai supaya lebih menghargai masa dan tidak membiarkan orang lain menunggu, terutama dalam situasi yang melibatkan kerja berkumpulan.

Menurut Azhan, sikap menepati masa adalah aspek disiplin yang sering dipandang remeh walaupun ia memberi kesan besar kepada kelancaran sesuatu urusan, termasuk dalam industri seni.

“Kadang-kadang kita sendiri pun pernah buat orang menunggu, walaupun dengan kawan. Jadi bagi saya isu ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi lebih kepada peringatan untuk diri sendiri supaya lebih berdisiplin,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Brandfilm Raya D’Herbs bertajuk Ya, Abang Saya Sekuriti, baru-baru ini.

Terdahulu, Azhan turut berkongsi pandangannya di platform media sosial Threads selepas membaca artikel mengenai seorang menteri di Jepun yang memohon maaf kepada seluruh negara kerana lewat lima minit menghadiri mesyuarat.

Menurut pelakon berusia 50 tahun itu, perkara tersebut seharusnya dijadikan contoh tentang bagaimana masyarakat boleh menghargai masa tanpa perlu membandingkan diri dengan pihak lain.

“Saya baca ramai yang bandingkan dengan menteri kita. Bagi saya tak perlu bandingkan dengan orang lain, bandingkan dengan diri sendiri sahaja,” katanya.

Azhan turut mengaitkan isu tersebut dengan pengalaman bekerja di lokasi penggambaran yang sering memerlukan kerjasama ramai pihak.

Katanya, dalam industri lakonan, masa amat berharga kerana setiap kelewatan boleh melibatkan kos produksi dan tenaga kerja yang besar.

“Orang selalu kata kalau 10 tahun dalam industri, ibarat lapan tahun menunggu dan hanya dua tahun sahaja berlakon.

“Jadi bila melibatkan penggambaran, semua orang kena lebih menghargai masa sebab ramai yang terlibat di belakang tabir,” ujarnya.

Dalam masa sama, Azhan yang membawakan watak bapa kepada usahawan kosmetik Aliff Syukri dalam brandfilm tersebut berkata, sikap profesional tidak seharusnya bergantung kepada status pelakon sama ada senior atau baharu.

BACA JUGA:  Genap setahun tanpa abang, Aufahanie kenang pemergian Nidza Afham

Menurutnya, ada juga segelintir pelakon senior yang menjadikan pengalaman sebagai ‘lesen’ untuk bersikap sambil lewa terhadap disiplin.

“Ada pelakon senior yang menunggang perkataan ‘senior’ sebagai lesen untuk berbuat apa sahaja. Pada masa sama, pelakon baharu pula mungkin terlalu mencari keselesaan.

“Pokok pangkalnya adalah belajar menghargai masa dan ikhlas terhadap pekerjaan yang dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Azhan meluahkan rasa terkilan di Threads terhadap sikap segelintir pelakon, khususnya bakat baharu yang hadir lewat ke lokasi penggambaran dan seolah-olah tidak berasa bersalah dengan tindakan tersebut. – MYBERITA

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...