PETALING JAYA – Seorang pengguna Facebook, Tarmizi Ishamel, mencadangkan beberapa idea “di luar kotak” bagi mengurangkan kesesakan jalan raya semasa musim pulang berhari raya ke kampung.
Menurut Tarmizi, salah satu cadangan utama ialah pergerakan kenderaan mengikut nombor plat ganjil dan genap.
Hari pertama, hanya nombor plat ganjil dibenarkan bergerak jauh, manakala hari kedua, plat genap pula.
Beliau berkata, dengan cara ini jumlah kenderaan di lebuh raya boleh dikurangkan hampir separuh pada satu-satu masa.
Selain itu, Tarmizi mencadangkan bayaran tol dinamik mengikut aliran trafik seperti tol akan lebih mahal pada waktu puncak manakal waktu malam atau pagi tol akan lebih murah.
Idea lain adalah cuti pulang ke kampung dilakukan secara berperingkat antara sektor atau syarikat, kawalan lebih ketat di hentian rehat dan rawat (R&R), serta penggunaan paparan trafik masa nyata bagi memaklumkan kelajuan purata, masa perjalanan sebenar, kapasiti R&R dan lokasi ‘smart lane’.
Bagi idea lebih ekstrem, beliau turut mencadangkan raya secara dalam talian atau menukarkan kampung menjadi bandar kecil dengan pengangkutan awam seperti MRT atau LRT, bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan peribadi.
Cadangan-cadangan itu mendapat pelbagai reaksi netizen.
Ada yang bersetuju dan menambah idea lain, seperti pengawalan kenderaan mengikut jenis enjin dan cc, serta mengambil contoh negara lain yang menggunakan sistem nombor plat tertentu untuk mengawal aliran trafik.
Namun, terdapat juga yang tidak bersetuju, menyifatkan cadangan itu terlalu idealistik dan sukar dilaksanakan di Malaysia.
Tarmizi menegaskan bahawa penyelesaian kepada kesesakan jalan raya bukan hanya melalui penambahan lorong lebuh raya, sebaliknya ia memerlukan cara berfikir yang kreatif dan perancangan perjalanan yang lebih bijak oleh masyarakat. – MYBERITA

