LANGKAWI – Aksi perlumbaan kapal layar bertaraf antarabangsa di Asia Tenggara bakal kembali memeriahkan perairan negara apabila Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2026 berlangsung dari 19 hingga 24 Januari ini di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC), Kuah.
Memasuki edisi ke-22 sejak penganjuran sulungnya pada tahun 2003, RLIR terus mengukuhkan kedudukan Malaysia, khususnya Langkawi, sebagai antara destinasi pelayaran dan pelancongan sukan terunggul di rantau ini.
Regata tahunan yang dinantikan komuniti pelayaran antarabangsa itu dijangka menghimpunkan lebih 250 pelayar menerusi penyertaan 35 buah kapal layar dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, China, Taipei Cina, India, Australia dan United Kingdom.
Penganjuran RLIR bukan sekadar platform pertandingan sukan, sebaliknya menjadi medium penting mempromosikan keindahan semula jadi Langkawi, kemudahan marin bertaraf dunia serta potensi pulau legenda itu sebagai hab pelancongan sukan marin di Asia Tenggara.
Para peserta akan bersaing dalam tujuh kelas utama iaitu Racing, IRC 1, IRC 2, Multihull Racing, Multihull Cruising, Sports Boat dan Club, dengan pelbagai trofi kejuaraan berprestij menjadi rebutan termasuk Prime Minister’s Challenge Trophy, LADA-IRC Challenge Trophy, PSC-IRC 2 Challenge Trophy, Langkawi Sports Challenge Trophy, Malaysia Multihull Challenge Cup dan RLYC Commodore’s Challenge Cup.
Selain persaingan di laut, penganjur turut menekankan nilai kesukanan menerusi penganugerahan khas Tunku Abdullah Sportsmanship Award kepada individu atau pasukan yang mempamerkan semangat sportiviti tinggi sepanjang kejohanan berlangsung, sama ada di laut mahupun di darat.
RLIR 2026 turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Turkish Airlines selaku syarikat penerbangan rasmi, selain tajaan daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah, ALJ Global Sdn Bhd, Malaysia International Boat Show 2026 Langkawi (MYBOS ’26), Tropicana Cenang Langkawi, Rainman Watermakers dan Marine Supplies Asia.
Gatorade dan Lipton Soda pula diumumkan sebagai minuman rasmi kejohanan, manakala HOMME dan Sea Yachting bertindak sebagai rakan media.
Penganjuran regata berprestij ini turut mendapat sokongan Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), World Sailing dan Aseanarean Bluewater Alliance, sekali gus mengukuhkan kredibiliti RLIR di peringkat antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai RLIR 2026, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi di www.langkawiregatta.com.

