KUALA LUMPUR – Perkongsian foto hitam putih oleh pelakon dan penyanyi, Bella Astillah di platform Threads terus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat mengenai status hubungannya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menerusi hantaran tersebut, Bella dilihat tampil anggun dalam persalinan kebaya, manakala Syed Saddiq pula segak berkemeja, seolah-olah mengintai ke arah penyanyi itu.
Konsep foto hitam putih yang ditampilkan turut mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan warganet.
Lebih menarik perhatian, hantaran berkenaan turut diiringi lagu Malam Bulan Di Pagar Bintang nyanyian Allahyarham P. Ramlee dan Saloma, sekali gus menguatkan lagi andaian bahawa ia mungkin memberi bayangan mengenai hubungan mereka.
Kapsyen ringkas yang ditulis Bella, “Maka esok ini, hari raya atau tidak?” turut menambah tanda tanya dalam kalangan pengikutnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengaitkan perkongsian itu dengan kemungkinan pasangan berkenaan bakal menamatkan zaman solo dalam masa terdekat.
Ada yang berpendapat foto tersebut menyerupai konsep fotografi pra perkahwinan, malah tidak kurang juga yang membuat andaian mengenai tarikh tertentu.
Perkongsian itu dilaporkan meraih hampir 10,000 tanda suka serta pelbagai reaksi daripada warganet yang ternanti-nanti penjelasan lanjut.
Sebelum ini, Bella dilihat memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai status hubungannya dengan Syed Saddiq, termasuk dakwaan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Untuk rekod, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz pada 2016 sebelum disahkan bercerai buat kali kedua pada Jun 2024. – MYBERITA

