KOTA KINABALU – Tindakan seorang kanak-kanak bermain skuter di lorong kanan jalan raya mengejutkan pengguna jalan raya dan mencetuskan kebimbangan keselamatan.
Menerusi video yang tular di laman X, kanak-kanak tersebut dilihat menaiki skuter di Jalan UMS, berhampiran 1 Sulaman, Kota Kinabalu, menghala ke Indah Permai, pada petang semalam.
Beberapa kenderaan dilaporkan terpaksa memperlahankan kelajuan mereka untuk mengelak sebarang kemalangan.
Dalam video itu, seorang penghantar makanan dilihat segera menghampiri kanak-kanak berkenaan dan membawanya ke tepi jalan bagi memastikan keselamatannya.
Kejadian itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen mengenai pengawasan ibu bapa kanak-kanak terbabit.
Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan perbuatan itu sangat berbahaya dan boleh mendatangkan risiko serius bukan sahaja kepada kanak-kanak itu, malah kepada pengguna jalan raya lain.
Orang ramai turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak mereka dan memastikan mereka tidak bermain di jalan raya yang sibuk. – MYBERITA

