KUALA LUMPUR– Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada susulan tular dakwaan mengenai seorang lelaki dipercayai penipu yang menyasarkan pengguna lebuh raya di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di seluruh negara.
Dakwaan tersebut dikongsikan oleh pengguna di Threads yang menceritakan pengalaman didekati seorang lelaki bersama seorang wanita di R&R Sungai Buloh arah selatan, sekitar pukul 7 malam.
Menurutnya, individu terbabit yang menaiki kenderaan jenis Perodua Ativa berwarna merah bertanya sama ada dia boleh berbahasa Inggeris sebelum meminta bantuan wang sebanyak RM400 dengan alasan kereta mengalami kerosakan.
“Dia kata datang dari Johor Bahru dan mahu ke bengkel, tetapi pelik kerana kami berada di arah selatan. Dia juga mendakwa tidak dapat mengeluarkan wang kerana masalah bank,” katanya.
Bagaimanapun, selepas permintaan tersebut ditolak, lelaki berkenaan dilihat bergerak ke kenderaan lain dipercayai untuk mengulangi taktik sama.
Beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman hampir serupa di lokasi berbeza, termasuk di R&R Bukit Gantang arah utara serta sebuah stesen minyak di kawasan Solaris.
Ada yang mendakwa lelaki itu menggunakan alasan datang dari luar negara, kehilangan dompet atau menghadapi masalah kewangan sebagai helah untuk meraih simpati orang awam.
Malah, individu tersebut didakwa menunjukkan laporan polis bagi meyakinkan mangsa sebelum meminta wang tunai untuk tujuan kononnya mengisi minyak atau membeli makanan.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna mengesyaki ia merupakan taktik penipuan baharu yang menyasarkan orang ramai, khususnya pengguna lebuh raya yang mudah tersentuh dengan kisah kecemasan.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang permintaan mencurigakan, terutama yang melibatkan wang tunai. – MYBERITA

