“Ada yang manis selain kamu”, ‘Semanis’ jadi kopi pilihan utama pelajar di USM

GEORGE TOWN – Bermula sekadar inisiatif menjana pendapatan ketika cuti semester, jenama minuman “Semanis” kini muncul sebagai antara perniagaan pelajar yang mencuri perhatian di Universiti Sains Malaysia (USM).

Pengasasnya, Mohd Hasbi Che Mat, 25, pelajar tahun empat Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, berkata idea tersebut lahir daripada keperluan mencari alternatif lebih berbaloi berbanding bekerja makan gaji.

Dato’ Rozilan Salleh bersama Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya mendengar perkongsian pengasas ‘Semanis’, Mohd Hasbi Che Mat ketika melawat kedai berkenaan.

“Bila kira kos minyak dan makan, pendapatan tak banyak. Jadi saya fikir lebih baik buat sesuatu sendiri dari rumah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan kedai pertamanya di dalam kampus USM, pada Ahad.

Menurut Hasbi, perniagaan itu bermula secara kecil-kecilan di kampung dengan hanya dua menu iaitu kopi latte dan green tea latte pada harga sekitar RM5.

Namun, sambutan di luar jangka terutama dalam kalangan penduduk setempat menjadi titik tolak kepada perkembangan jenama itu.

Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya melakukan gimik perasmian dengan menuang perasa ke dalam minuman susu.

“Setiap kali habis cuti, ramai tanya bila nak jual lagi. Dari situ saya nampak potensi,” katanya.

Melihat peluang tersebut, beliau membawa “Semanis” ke peringkat lebih serius dengan menyertai pelbagai acara kampus sepanjang 2023 hingga 2024 sebelum membuka kedai fizikal di Uptown Mall USM pada Jun 2025.

Lebih menarik, keseluruhan pembangunan kedai dilakukan hampir sepenuhnya secara sendiri tanpa suntikan dana luar.Bagaimanapun, perjalanan itu tidak mudah apabila Hasbi terpaksa menangguhkan pembukaan rasmi kedai akibat keletihan melampau sehingga jatuh sakit.

“Mula dengan modal sendiri. Meja, kerusi, dekorasi semua saya buat sendiri walaupun pada masa sama masih belajar,” katanya.

“Saya dah siap semua, tapi terpaksa tangguh sebab demam. Memang kecewa, tapi bila buka minggu berikutnya, sambutan sangat luar biasa,” ujarnya.

Dalam pasaran minuman yang kompetitif di George Town, Hasbi menekankan keunikan “Semanis” terletak pada tekstur minuman yang lebih ‘creamy’ dan berlemak.

BACA JUGA:  Arab Saudi sambut Aidilfitri esok
Dato’ Rozilan Salleh bersama Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya merasmikan pembukaan kedai ‘Semanis’ melalui acara memotong reben.

Harga minuman pula ditawarkan antara RM7 hingga RM14, sesuai dengan kemampuan pelajar.

“Kita fokus pada rasa dan pengalaman. Antara menu popular ialah Semanis Latte dan matcha,” katanya.

Selain produk, beliau turut memberi penekanan terhadap kualiti perkhidmatan dengan melatih pekerja sambilan agar mesra pelanggan.

Tetamu yang hadir dihidangkan minuman ‘Semanis’ sempena majlis perasmian.

“Kita bukan sekadar jual minuman, tapi jual servis. Kita nak pelanggan rasa dihargai,” katanya.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila “Semanis” kini tersenarai sebagai lima finalis Anugerah Usahawan bagi kategori platform digital terbaik, dengan keputusan dijangka diumumkan Mei ini.

Dalam perancangan seterusnya, Hasbi menyasarkan untuk mendapatkan pensijilan halal, mendaftarkan jenama secara rasmi serta memperkenalkan menu baharu seperti siri pistachio dan taro.

Dato’ Rozilan Salleh bersama Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya menandatangani plak sebagai simbolik perasmian kedai ‘Semanis’.

“Harapan saya, Semanis boleh berkembang jadi sebuah kafe lengkap dengan dessert dan pastry,” katanya.

Hasbi turut menzahirkan penghargaan kepada pelanggan setia yang menyokong sejak peringkat awal perniagaan.

“Ada pelanggan yang ikut dari zaman kita jual dalam plastik sampai sekarang ada cup berlogo. Itu yang buat saya terus semangat,” katanya.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...