KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang individu mengenai kegigihan ayahnya kembali bekerja walaupun masih menjalani rawatan kemoterapi meraih perhatian ramai di media sosial.
Menerusi hantaran oleh Natasha Rusli, kelihatan si ayah begitu teruja untuk kembali ke tempat kerja selepas lama bercuti akibat menjalani pembedahan dan rawatan kimo.
Apa yang lebih menyentuh hati, ayahnya tampil kemas dengan pakaian serba baharu kerana kebanyakan baju lamanya sudah tidak lagi muat susulan perubahan berat badan sepanjang rawatan.
Menurut Natasha, walaupun sesi kemoterapi masih berlangsung dan dijadualkan semula pada Jumaat ini, bapanya tetap bersemangat untuk meneruskan rutin harian seperti biasa.
Perkongsian itu nyata mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang rata-rata memuji kekuatan dan semangat luar biasa lelaki berkenaan dalam menghadapi ujian hidup.
View on Threads
Menjengah ke ruangan komen, ramai turut menitipkan doa agar urusan rawatan dipermudahkan serta diberikan kesembuhan buat abah tersebut.
“Comel la abah! Kerja elok-elok tau, stay safe always abah,” kata seorang pengguna.
“Ya Allah Yang Maha Penyembuh, sembuhkanlah abah ini daripada segala penyakit dan dosa, serta curahkanlah rahmat dan barakah ke atasnya,” kata seorang lagi pengguna.
Tidak kurang juga yang menjadikan kisah itu sebagai inspirasi, mengingatkan orang ramai supaya terus kuat dan tidak mudah berputus asa walau berdepan dugaan berat. -MYBERITA

