KUALA LUMPUR – Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila dihendap seorang lelaki ketika berada di dalam tandas awam di Stesen LRT Sentul, baru-baru ini.
Kejadian tersebut tular selepas satu rakaman video memaparkan seorang pemuda dalam keadaan bergari dipercayai suspek yang ditahan polis di lokasi kejadian.
Menurut mangsa, insiden berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika dia sedang menggunakan tandas di stesen berkenaan.
Mangsa mendakwa terkejut apabila mendapati seorang lelaki berada di atas dinding pemisah tandas dan dipercayai cuba menghendapnya.
Akibat panik, wanita itu menjerit sebelum suspek melarikan diri, namun berjaya ditahan oleh seorang penjaga tempat letak kenderaan berhampiran.
“Rasa menggigil satu badan. Sedang dalam tandas, tiba-tiba nampak siling atas terbuka dan ada lelaki intai. Harap pihak berkaitan ambil tindakan sebelum jadi lebih teruk,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa turut mengingatkan orang ramai khususnya wanita agar lebih berhati-hati walaupun berada di ruang yang dianggap selamat seperti tandas awam.
Difahamkan, kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku di lokasi sama, malah pihak polis sebelum ini pernah menerima laporan berkaitan, namun suspek gagal dikesan.
Mangsa turut mempersoalkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan termasuk isu ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) dan kawalan keselamatan yang didakwa masih kurang. -MYBERITA

