KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan pemandu motosikal yang menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan di sekitar Putrajaya mengundang kecaman orang ramai apabila aktiviti tersebut didakwa mengganggu ketenteraman awam.
Perkara itu didedahkan menerusi satu hantaran di platform Threads oleh seorang pengguna, yang memaklumkan kegiatan berkenaan berlaku berhampiran hospital serta kawasan kediaman penduduk.
“Sebagai penduduk Putrajaya, di situ ada hospital, termasuk wad bersalin berisiko rendah dan pelbagai kemudahan lain,” katanya.
Menurutnya, bunyi bising daripada ekzos motosikal serta aksi berbahaya di jalan raya amat tidak bertimbang rasa, lebih-lebih lagi terhadap pesakit yang memerlukan suasana tenang untuk berehat dan pulih.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai pengguna turut berkongsi pengalaman serupa, termasuk gangguan yang dialami ketika berada di wad bersalin.
“Saya pernah tinggal dekat Wad Bersalin Berisiko Rendah Presint 8, memang susah nak rehat jaga bayi baru lahir. Bunyi motosikal macam dekat litar, sangat mengganggu,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi penduduk memaklumkan kawasan Presint 8, khususnya di laluan utama, sering menjadi lokasi kumpulan motosikal berkumpul dan menguji bunyi ekzos, terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu.
Isu tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin, yang mengesahkan telah menerima aduan berhubung aktiviti berbahaya itu.
Menurut beliau, keselamatan dan ketenteraman awam tidak boleh dikompromi, apatah lagi melibatkan laluan awam yang digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya menerima kiriman video berkaitan aktiviti bermotosikal melibatkan aksi berbahaya termasuk perlumbaan di sekitar Jambatan Putra, Presint 1.
“Kawasan ini merupakan laluan awam dan tindakan sedemikian sangat berbahaya. Saya telah memohon pihak polis mengambil tindakan segera serta mempertingkatkan pemantauan,” katanya.
Orang ramai berharap tindakan tegas dapat diambil bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab itu demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara.

