KUALA LUMPUR – Seorang pelajar meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa terlepas peluang menghadiri temuduga apabila menerima jemputan pada waktu tidak munasabah, iaitu sekitar pukul 1 pagi pada hari sama sesi tersebut dijadualkan berlangsung.
Menerusi perkongsian di Threads, individu berkenaan memaklumkan temuduga yang ditawarkan dijadualkan antara pukul 9.30 hingga 10 pagi pada 21 April, namun beliau tidak menyedari emel tersebut kerana sedang tidur ketika ia dihantar.
Situasi itu menyebabkan beliau terlepas peluang menghadiri sesi temuduga berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kaedah komunikasi yang digunakan.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian pengguna lain yang berkongsi pengalaman hampir sama.
“Weh i got this too, mereka masukkan saya dalam kumpulan WhatsApp pukul 10 malam ketika saya sudah tidur dan kemudian keluarkan saya sebaik sahaja saya bangun sebab tak hantar keputusan SPM,” kongsi seorang pengguna.
Rata-rata netizen mempersoalkan tindakan menghantar jemputan pada saat akhir, selain menyifatkan ia tidak profesional dan menyukarkan calon untuk membuat persediaan.
Sehingga kini, pihak institusi berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut. – MYBERITA

