KUALA LUMPUR – Tindakan dua individu yang dipercayai membuang sampah pukal secara sembunyi di sebuah kawasan kampung semalam mencetuskan kemarahan penduduk setempat selepas perbuatan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Kampung Batu 14 Hulu Langat, Safwan Shari berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.59 petang apabila sebuah kereta dilihat berhenti berhampiran tong sampah yang disediakan untuk kegunaan penduduk.
Menurutnya, kedua-dua individu terbabit mengambil masa hampir dua minit untuk memastikan keadaan sekeliling benar-benar ‘selamat’ sebelum bertindak mengeluarkan sebuah tikar bersaiz besar dari kenderaan tersebut.
“Selepas ‘line clear’, mereka terus keluarkan tikar besar itu dan membuangnya ke dalam tong sampah. Hampir dua minit juga diambil untuk mengeluarkan tikar berkenaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Safwan menegaskan bahawa dua tong sampah yang disediakan di lokasi berkenaan adalah khusus untuk kegunaan penduduk kampung dan hanya bagi pembuangan sampah domestik seperti sisa makanan harian.
“Tikar seperti ini dikategorikan sebagai sampah pukal dan tidak sepatutnya dibuang di sini. Jika semua mengambil jalan mudah, siapa yang akan bertanggungjawab menguruskannya?” katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan membuang barang besar seperti tikar, perabot atau barangan lain sebagai tidak bertanggungjawab dan menyusahkan pihak yang menguruskan kebersihan kawasan.
Sehubungan itu, Safwan menyeru orang ramai supaya lebih peka dan berdisiplin dalam pengurusan sisa, selain mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Dalam masa sama, beliau meminta dua individu yang terlibat tampil menghubunginya bagi memberikan penjelasan serta memohon maaf atas tindakan tersebut.

