KUALA LUMPUR – Kongres Pendidikan Bumiputera tampil dengan pendekatan lebih tegas apabila resolusi yang dirangka tidak lagi sekadar menjadi bahan rujukan, sebaliknya akan diangkat sebagai asas tindakan nasional melalui Majlis Pendidikan Negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir menegaskan, langkah memasukkan penilaian dasar pendidikan Bumiputera sebagai agenda utama negara mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh hala tuju pendidikan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Menurut beliau, selain penilaian dasar, lima fokus utama lain yang menjadi teras perbincangan kongres ialah pengarusperdanaan aliran tahfiz, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengukuhan pendidikan awal kanak-kanak, pembangunan wakaf pendidikan serta penentuan hala tuju pendidikan negara pada masa hadapan.
“Segala dapatan dan perbahasan ini tidak akan dibiarkan terhenti sebagai wacana. Ia akan dirumuskan dan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi sebelum dibawa ke peringkat pelaksanaan nasional,” katanya ketika menyampaikan ucapan halatuju kongres.
Resolusi tersebut dijangka diserahkan kepada Presiden Ahmad Zahid Hamidi sebelum dibawa kepada Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.
Kongres yang menghimpunkan lebih 5,000 peserta itu turut memperlihatkan penglibatan meluas pakar pendidikan melalui enam sesi utama yang merangkumi 25 pembentang serta barisan pengerusi dan moderator, sekali gus mencerminkan keseriusan pelbagai pihak dalam memperkukuh agenda pendidikan Bumiputera.
Dalam pada itu, Zambry menekankan bahawa masa depan pendidikan Bumiputera memerlukan keberanian politik untuk memastikan setiap pelaburan memberikan pulangan yang bermakna kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan pendidikan tidak harus diukur semata-mata melalui statistik kemasukan ke institusi pengajian tinggi, sebaliknya perlu dilihat dari sudut pembinaan insan yang seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan nilai.
“Matlamat kita adalah melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai daya cipta, keyakinan diri serta kekuatan akhlak,” ujarnya.
Tambah beliau, pendidikan juga perlu dilihat sebagai ruang muhasabah nasional dalam menilai kedudukan bangsa, khususnya dalam dunia yang semakin kompetitif dan berubah pantas.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha merapatkan jurang pendidikan perlu bermula seawal peringkat kanak-kanak bagi memastikan pembangunan modal insan yang lebih inklusif dan mampan.

