KUALA LUMPUR — Teka-teki mengenai penyanyi popular Amira Othman akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan sedang hamil anak pertama.
Amira, atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, memaklumkan usia kandungannya kini sudah hampir 30 minggu dan dijangka melahirkan cahaya mata sama ada pada penghujung Jun atau awal Julai tahun ini.
Menurut Amira, pengumuman tersebut dibuat pada waktu yang dirasakan sesuai selepas kandungannya semakin jelas kelihatan.
“Hari ini saya kongsikan bahawa memang saya sedang hamil selama 30 minggu. Alhamdulillah, saya mohon doa daripada semua agar dipermudahkan urusan kandungan serta proses bersalin saya.
“Semua ini adalah rezeki dan saya rasa hari ini adalah masa terbaik untuk saya umumkan kerana saya pun sudah tidak dapat menyembunyikan perut saya,” katanya.
Dalam masa sama, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk merahsiakan berita gembira berkenaan sebelum ini.
Sebaliknya, Amira mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak berkongsi terlalu awal bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.
“Tiada niat untuk saya sorokkan berita ini. Sebagai seorang Islam, perkara baharu seeloknya tidak dikongsikan dahulu demi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” ujarnya lagi.
Berkongsi pengalaman sepanjang kehamilan, pelantun lagu Hati-Hati itu memaklumkan hanya mengalami alahan teruk pada trimester pertama, namun tidak mempunyai sebarang keinginan mengidam yang luar biasa.
“Saya hanya alami alahan teruk pada trimester pertama, tetapi tidak mengidam apa-apa yang pelik,” katanya.
Sebelum ini, spekulasi mengenai kehamilan Amira hangat diperkatakan dalam kalangan peminat selepas penampilannya yang dilihat menampakkan ‘baby bump’ ketika menghadiri sebuah majlis Hari Raya.
Bagaimanapun, ketika itu Amira memilih untuk tidak mengulas lanjut dan hanya meminta orang ramai mendoakan kesihatannya.
Untuk rekod, Amira dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025 dalam sebuah majlis yang berlangsung di Sepang, Selangor.

