KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan melaksanakan penangguhan sementara urusan tukar hak milik (THM) kenderaan menerusi saluran dalam talian berkuat kuasa 25 Mei ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi JPJ, penangguhan itu melibatkan portal awam, kiosk serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Menurut JPJ, langkah tersebut diambil sebagai tindakan kawalan serta-merta susulan beberapa aduan rasmi dan aduan di media sosial berkaitan insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
“JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ.
“Sehubungan itu, bermula 25 Mei 2026, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ,” menurut kenyataan itu.
Bagi urusan THM kategori persendirian individu, JPJ memaklumkan proses tersebut masih boleh diselesaikan pada hari yang sama di semua Pejabat JPJ Negeri dan cawangan.
Sementara itu, bagi kategori persendirian syarikat, proses pengesahan dan kelulusan akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja bermula daripada tarikh penyerahan dokumen lengkap kepada JPJ.
Dalam pada itu, bagi saluran melalui penyedia perkhidmatan eAuto, hanya urusan Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) masih beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, sistem tukar hak milik kekal menerusi sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan pelaksanaannya buat sementara waktu.
JPJ turut memaklumkan mana-mana pihak termasuk syarikat kenderaan terpakai yang ingin melaksanakan urusan eSTM perlu mengemukakan permohonan di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan berhampiran.
Menurut JPJ, pihaknya kekal komited memastikan pengurusan serta kawalan rekod pendaftaran kenderaan dalam sistem JPJ terus diperkukuh dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa menyemak dan mengemas kini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing di JPJ.

