GEORGE TOWN – Yang Di-Pertua (Speaker) Parlimen Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino menyeru pemimpin mahasiswa agar membina budaya kepimpinan yang matang, profesional dan berintegriti.
Beliau berkata, kepimpinan bukan sekadar mengenai siapa paling kuat bersuara, popular atau mempunyai jawatan tertinggi, sebaliknya merupakan satu amanah untuk menjaga kebajikan dan mendengar suara mahasiswa.
“Kepimpinan adalah amanah. Amanah untuk menjaga kebajikan, mendengar suara mahasiswa dan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat universiti khususnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan persidangan Parlimen Mahasiswa Siri 2 Sidang Akademik 2025/2026, di sini baru-baru ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pemimpin mahasiswa agar tidak terlalu sibuk bersaing sesama sendiri sehingga melupakan tujuan sebenar sebagai wakil pelajar.
Menurutnya, pemimpin mahasiswa merupakan cerminan kepada budaya kepimpinan dalam universiti dan segala tindakan mereka akan dinilai oleh masyarakat.
Beliau turut menasihatkan mahasiswa supaya tidak menjadikan budaya politik luar yang dipenuhi perpecahan dan saling menjatuhkan sebagai contoh sepenuhnya.
“Berbeza pandangan itu normal tetapi jangan sampai hilang hormat. Berbeza ideologi itu biasa tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim,” katanya.
Dalam ucapannya juga, beliau menyeru pemimpin di luar kampus agar lebih mendengar suara rakyat dan tidak hanya mendekati masyarakat ketika musim pilihan raya.
Katanya, kepimpinan merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul setiap hari dan perkara sama perlu diterapkan dalam kalangan pemimpin pelajar.
“Janganlah hanya turun sewaktu pilihan raya. Kita kena ingat, kita ini seorang pemimpin. Dengar suara rakan-rakan kita setiap masa,” ujarnya.
Beliau kemudian menegaskan bahawa mahasiswa memerlukan pemimpin yang benar-benar bekerja dan berkhidmat, bukannya sekadar pandai bercakap sebelum secara rasmi menangguhkan Persidangan Parlimen Mahasiswa Siri 2 Sidang Akademik 2025/2026.

