SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dilaksanakan bermula esok, 5 Jun 2026 (Jumaat), selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan malam ini.
Beliau berkata, perkara itu dimuktamadkan selepas sesi menghadap yang berlangsung kira-kira jam 8.30 malam tadi.
“Alhamdulillah jam 8:30 malam saya telah menghadap KDYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, dan Tuanku telah perkenan untuk membubarkan DUN bermula esok 5 Jun 2026 (Jumaat),” katanya kepada media.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Negeri Sembilan.
“Saya telah mengikut peraturan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya lagi.
Beliau menambah, selepas pembubaran itu dimuktamadkan, pihaknya akan menghantar notis rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan seterusnya termasuk penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
“Selepas ini pilihan raya, kita akan hantar notis kepada SPR, dan SPR menentukan penamaan calon dan hari mengundi,” katanya ketika sidang media khas di kediaman rasminya di sini, malam ini.
