Ahad, 14 Jun 2026

Pemandu lori tunjuk isyarat lucah, pandu bahaya ditahan polis

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu lori memandu secara berbahaya sambil menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya membawa padah apabila dia ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan satu video tular di aplikasi TikTok semalam yang memaparkan kejadian berkenaan di Lebuh Raya Kajang Silk menghala ke Bandar Baru Bangi.

Menurut beliau, suspek dipercayai memandu secara melulu dan turut menunjukkan isyarat lucah ketika berada di atas jalan raya sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Susulan video tular itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kajang dan suspek, seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun, berjaya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau cuai sehingga membahayakan nyawa manusia serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana menggunakan perkataan atau isyarat yang boleh mengaibkan seseorang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa bertimbang rasa, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengamalkan pemanduan berhemah demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan yang boleh mengancam keselamatan awam di jalan raya.

Aqilah Khaider
Aqilah Khaider
aqilahkhaider@portalmyberita.com