KUALA LUMPUR – Teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pengadilan badminton kini tidak lagi terhad kepada kejohanan elit dunia apabila Jelajah Remaja Elit AFFIN 100PLUS 2026 menjadi pentas remaja pertama di rantau ini yang melaksanakan Sistem Semakan Segera (IRS) Reveal Lens secara menyeluruh.
Langkah berani yang digerakkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu menandakan perubahan besar dalam landskap pembangunan sukan badminton negara, apabila teknologi pengadilan berketepatan tinggi kini diperkenalkan lebih awal di peringkat akar umbi bagi membentuk pemain yang lebih bersedia menghadapi pentas antarabangsa.
Sepanjang enam hari kejohanan berakhir semalam, sistem berasaskan AI pertama di dunia yang diluluskan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu digunakan di dua gelanggang utama, membolehkan pemain mencabar keputusan garisan dengan semakan rakaman berkelajuan tinggi sehingga 480 bingkai sesaat dan menerima keputusan dalam beberapa saat sahaja.
Selain sistem cabaran keputusan, kejohanan berkenaan turut dilengkapi pemarkahan digital, penstriman langsung serta paparan tepi gelanggang di semua lapan gelanggang, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan pertandingan dan pengalaman penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif Revealtek, Revealtek Sdn Bhd, Nizam Mohamed berkata pendekatan membawa teknologi tersebut ke peringkat remaja membuka akses lebih luas kepada pemain muda terhadap sistem bertaraf dunia.
“Kami amat berterima kasih kepada BAM atas peluang yang diberikan. Apa yang ditunjukkan sepanjang minggu ini ialah teknologi pengadilan bertaraf dunia kini bukan lagi hak eksklusif kejohanan elit, dan kami berhasrat memastikan ia terus kekal begitu. Malaysia kini sedang menetapkan standard baharu untuk rantau ini,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan sistem itu juga menjadi langkah awal ke arah pelaksanaan Sistem Panggilan Garis Elektronik yang dijangka diperluaskan pada 2026, selain pembangunan analitik prestasi pemain berasaskan infrastruktur kamera sedia ada.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata penggunaan teknologi AI dalam kejohanan remaja membantu memperkukuh ketelusan serta konsistensi pengadilan.
Sementara Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam pula menyifatkan pelaksanaan tersebut sebagai sebahagian daripada aspirasi jangka panjang badan induk itu dalam memperkasa pembangunan badminton negara.
“Kami berbesar hati dapat membawa kemudahan ini ke kejohanan peringkat remaja. Ia mencerminkan hala tuju yang kami mahukan untuk badminton Malaysia serta standard yang ingin diterapkan dalam penganjuran setiap kejohanan oleh BAM,” ujarnya.
Pelaksanaan di peringkat remaja itu turut dilihat sebagai isyarat bahawa teknologi sukan kini semakin demokratik, sekali gus mengurangkan jurang akses antara kejohanan elit dan pembangunan akar umbi dalam ekosistem badminton negara.


