KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengimbau semula pelancaran projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pada Ogos 2016 sebagai contoh pendekatan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menurutnya mengutamakan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik.
Najib berkata, projek yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia itu dilancarkan ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih menyandang jawatan Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR.
“Kerajaan BN tidak berkira, tidak main politik dalam soal pembangunan. Asalkan projek baik untuk rakyat, kita buat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau berkata, ketika projek itu dilancarkan, kerajaan menetapkan sasaran untuk menyiapkannya sekitar tahun 2020 walaupun tempoh pembinaan yang diperuntukkan hanya kira-kira empat tahun.
Menurut Najib, sasaran itu dianggap mencabar memandangkan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT1) sepanjang 51 kilometer sebelum itu mengambil masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan.
Bagaimanapun, beliau yakin jajaran LRT3 sepanjang 37.8 kilometer mampu disiapkan mengikut jadual berikutan penekanan pentadbiran BN terhadap prestasi pelaksanaan serta pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI).
Katanya, pendekatan berkenaan menjadi antara faktor yang mendorong kerajaan ketika itu menetapkan sasaran pelaksanaan yang agresif bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat dalam tempoh lebih singkat.
LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia kini telah siap dibina serta mula beroperasi selepas melalui beberapa penangguhan daripada sasaran asal yang diumumkan ketika pelancarannya pada 2016.


