Jumaat, 10 Julai 2026
spot_img
AJL40Ramai tak tahu, ini punca Nabila Razali tangguh sambung belajar

Ramai tak tahu, ini punca Nabila Razali tangguh sambung belajar

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, 33, mengakui hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang seni bina masih belum pernah padam meskipun kesibukan kerjaya seni serta tanggungjawab sebagai isteri dan ibu memaksanya menangguhkan impian itu.

Menurut Nabila atau lebih mesra disapa Bella, kekangan masa menjadi faktor utama beliau tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan pengajian di universiti.

“Sejujurnya Bella punya minat untuk belajar itu masih ada, tapi atas kekangan masa. Jadi benda itu sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan Bella untuk sambung belajar.

“Tapi tidak bermaksud Bella akan berhenti belajar. Insya-Allah kalau ada masa nanti, Bella nak sambung habiskan apa yang Bella stop dulu iaitu seni bina,” katanya ketika ditemui MYBERITA baru-baru ini.

Dalam masa sama, pelantun lagu Peluang Kedua itu turut menitipkan pesanan kepada golongan muda supaya memanfaatkan peluang melanjutkan pelajaran selagi mempunyai ruang dan kemampuan.

Foto Izzat Shariff & Shahrol Hakimie

“Belajar bukanlah satu persinggahan sahaja, tetapi ia sebenarnya membuka ruang minda yang baharu dan dapat mengembangkan rangkaian sosial kita.

“Kalau korang ada masa dan berpeluang untuk sambung belajar, belajarlah betul-betul. Gunakan masa dan tenaga yang ada untuk timba ilmu sebaik mungkin,” katanya.

Mengimbau kenangan ketika bergelar mahasiswa, Bella berkata kehidupan di universiti banyak mengajarnya erti berdikari, mengurus kewangan serta mengimbangi tekanan akademik tanpa bergantung kepada keluarga.

“Semuanya best. Apa yang berlaku, baik atau buruk, semuanya kenangan manis untuk Bella. Kita belajar berdikari, duduk jauh daripada keluarga, kena pandai urus duit makan, duit tugasan dan jaga mental dengan lambakan assignment.

“Kalau hujung bulan makan nasi goreng paprika pun okey. Benda-benda macam itu yang Bella takkan lupa sampai sekarang,” katanya.

Mengulas mengenai isu buli yang sering menjadi perhatian kebelakangan ini, Bella berkata sepanjang menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), beliau tidak pernah menjadi mangsa mahupun menyaksikan kejadian sedemikian berlaku.

“Alhamdulillah Bella tak pernah kena buli dan Bella pun tak membuli.

“Kalau nak cakap pasal buli dekat USM dulu, Bella rasa memang tak ada kes-kes macam itu. Jadi Bella tak pernah berdepan perkara sedemikian,” katanya.

Dalam perkembangan kerjaya seni, Bella mengesahkan sedang merancang untuk melancarkan karya baharu tahun ini, namun mengakui komitmennya kini semakin besar selepas bergelar isteri dan ibu.

“Soalan pasal single baharu memang paling susah untuk Bella tahun ini sebab banyak sangat perancangan. Insya-Allah tahun ini akan ada lagi lagu daripada Bella.

“Sekarang bukan sahaja penyanyi dan pelakon, tetapi Bella juga dah jadi isteri dan ibu. Tanggungjawab memang bertambah, cuma itu tidak bermaksud Bella memperlahankan kerjaya. Momentum masih sama, cuma kena pandai bahagikan masa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-